TAQWA MEMBUKA PINTU KEBERKATAN

Hendaklah kamu bertaqwa dengan semaksimum taqwa!

Cinta kepada Allah yang tiada batas yang membuatkan seseorang mampu berbuat di luar kebiasaan manusia biasa, adalah satu anugerah yang tinggi nilainya.

Jika hidup tanpa taqwa, sia-sialah!

Jika diberi kecantikan, kelebihan ini akan merosakkannya.

Begitu juga jika dianugerahkan kepandaian, kepintaraannya akan merosakkannya.

Pada hari ini orang menyanjung kecantikan. Dengan taqwa, Nabi Yusuf as manusia tercantik, tetapi baginda selamat dan menyelamatkan orang lain. Manusia yang dikurniakan kecantikan, jika tiada taqwa, rosak hatinya malah merosakkan orang lain..

Kini manusia sering mengukur-ngukur kepandaian. Sedangkan dalam realiti, dunia turut memerlukan orang yang lemah akalnya. Pemungut sampah yang IQnya mungkin purata 60, jika mogok sebulan maka kita akan hidup bertemankan ulat dan bau yang mungkin tidak akan mampu kita tanggung malah penyakit akan menyapa keseluruhan bandar.

Usahakanlah sifat taqwa. Allah sangat memerintahkan orang Islam agar bertaqwa.

Antara kelebihan orang bertaqwa

1) Allah bebaskan dari kesusahan dan diberi sumber dari rezeki yang tidak diduga. Jika orang kaya tidak bertaqwa, kekayaannya akan memusnahkan imannya dan hidupnya. Sebaliknya, orang miskin yang bertaqwa, Allah sendiri yang membantu hidupnya. Ini jaminan Tuhan, yakni dia akan mendapat rezeki dari sumber tidak disangka dan mendapat jalan keluar dari segala permasalahan hidup.

2) Tanpa taqwa, orang yang diberi kelebihan akan hancur imannya dan merosakkan diri malah orang lain. Dengan taqwa, orang yang diberi kekurangan, permasalahannya akan dibantu. Urusannya dipermudahkan, hajatnya dikabulkan. Inilah sebaik-baik kehidupan.

3) Tanpa taqwa, segalanya tak kena. Manusia sering merancang. Contoh; pada usia sekian, dia akan jadi orang kaya. Dia membeli rumah besar dengan segala hiasan. Apabila jatuh sakit atau miskin, rumahnya itu menjadi beban kepadanya. Mungkin terlalu besar untuk diuruskan, atau hutang rumahnya masih belum selesai.

4) Orang bertaqwa mudah mendapat ilmu, jika dia amalkan ilmu yang diketahui, Allah akan ajar ilmu yang tidak ia ketahui. Allah akan cerdikkan akal dan hatinya.

5) Orang bertaqwa dikasihi Allah. Jika dikasihi manusia pun suatu kebahagiaan, apalagi dikasihi Allah SWT.

6) Allah akan bela dan bantu. Jika manusia yang membela dan membantu pun kita sudah bersyukur, apalagi jika Allah yang Maha Berkuasa!

7) Allah akan buka pintu berkat. Jika penduduk satu kampung itu bertaqwa, pintu langit dan bumi terbuka, berkat Allah akan turun. Usaha yang sedikit sahaja membuahkan hasil yang banyak.

8) Allah akan terima amalannya. Allah hanya menerima amalan orang yang bertaqwa.

9) Allah pelihara dari musuh lahir dan batin.

Taqwa modalnya adalah hati, tidak perlukan modal tinggi. Sambil duduk-duduk pun kita boleh usahakan. Pemaaf, pemurah, suka berkhidmat kepada manusia adalah contoh sifat taqwa. Sangat merendah diri, membantu, mencari-cari pasal untuk berbuat baik adalah satu usaha taqwa.

Ya Allah tingkatanlah Taqwa kami

-Arkib Minda Ikhwan-

Leave a comment